KENINGAU: Sebanyak lima rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Apin-Apin, di sini, pagi tadi.
Kejadian itu turut membabitkan enam kenderaan serta beberapa premis lain yang terjejas, sekali gus menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dalam sekelip mata.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.06 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati lima rumah tidak kekal sudah terbakar sepenuhnya, selain sebuah kedai runcit terbakar 50 peratus dan sebuah rumah separuh kekal terbakar 60 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan enam kenderaan iaitu dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona serta empat motosikal yang semuanya musnah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja memadam bara api selesai.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X