KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) disaran bekerjasama mengambil pendekatan lebih strategik dalam menyesuaikan pemasaran pelancongan dengan keadaan semasa.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu perlu berikutan beberapa hotel di sekitar Kota Kinabalu terjejas secara langsung, dengan kadar penginapan yang menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Katanya, situasi itu dipercayai berpunca daripada dua faktor utama, iaitu kesan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat serta perubahan corak perjalanan pelancong yang kini beralih ke destinasi baharu seperti Vietnam.
“Kesan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat, selain perubahan corak perjalanan pelancong yang kini beralih ke destinasi baharu seperti Vietnam antara cabaran semasa dihadapi pengusaha hotel,” katanya, di sini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri menerima kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan, Suresh Ramasamy bersama rombongan, di pejabatnya pada Isnin.
Pada pertemuan itu, Suresh memaklumkan industri perhotelan di Sabah kini berdepan cabaran berikutan penurunan ketibaan pelancong asing ke ibu negeri.
Masidi menekankan keperluan memperkukuh promosi pelancongan domestik, khususnya menyasarkan pasaran berpotensi tinggi di kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Terdapat potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan berpendapatan tinggi yang majoritinya tertumpu di kawasan tersebut bagi merancakkan semula industri pelancongan negeri,” katanya.
Dalam masa sama, Masidi turut menegaskan bahawa Sabah perlu lebih proaktif dalam membangunkan produk pelancongan baharu dan unik bagi kekal berdaya saing, terutama dalam menghadapi kemunculan destinasi alternatif di rantau ini.
“Dengan strategi yang tepat dan penawaran produk yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya. – Info X