Search

Lori siap tangki ubah suai bawa 1,350 liter diesel disyaki seleweng

May 6, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Taktik menggunakan lori lapan tan yang diubah suai dengan tangki tambahan untuk membawa diesel bersubsidi terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi di sini, semalam.

Rampasan kira-kira jam 7.30 malam itu membabitkan 1,350 liter diesel bersama sebuah lori jenis Isuzu lapan tan, tong drum besi, hos paip minyak, mesin pam dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan api.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kes berkenaan diterima menerusi serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM104,256.25.

“Susulan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negeri ini. – Info X