Search

Festival Bambu Sabah Telupid 2026 angkat warisan budaya tempatan ke pentas antarabangsa

May 9, 2026

Info X Reporters

TELUPID: Festival Bambu Sabah Telupid 2026 bakal menjadi antara acara pelancongan budaya terbesar di Sabah apabila menghimpunkan pelbagai aktiviti berasaskan bambu yang mengetengahkan seni, budaya, muzik tradisional dan makanan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Festival yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Mei depan di Pekan Telupid itu dianjurkan bersama Pejabat Daerah Telupid dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar daerah berkenaan.

Bertemakan ‘Bamboo For Life (Bamboo4Life)’, penganjuran festival itu bertujuan mempromosikan warisan seni budaya Sabah berasaskan bambu selain menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

Selain memperkenalkan keunikan budaya masyarakat tempatan, festival itu juga dijangka membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi jualan produk kraftangan, makanan tradisional dan pelbagai aktiviti komersial lain sepanjang acara berlangsung.

Antara pengisian utama festival termasuk Pesta MiBangkal atau perlumbaan rakit, pertandingan fotografi, pertandingan Sulap Bambu, Battle of Bamboo Music, pertandingan masakan tradisi, pertandingan busana kreatif etnik Sabah, Bambu Voice Challenge dan sukan tradisi seperti tarik tali, menyumpit, melastik serta gasing.

Battle of Bamboo Music atau dikenali sebagai “Tunion Do Poring” dijangka menjadi tarikan utama apabila mengetengahkan persembahan muzik tradisional berasaskan bambu dengan penggunaan alat muzik warisan Sabah seperti sompoton, bungkau dan suling bambu.

Selain pertandingan, festival berkenaan turut menampilkan pameran serta jualan kraftangan dan demonstrasi bengkel oleh penggiat seni tempatan bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali proses penghasilan produk berasaskan bambu secara lebih dekat.

Majlis perasmian festival dijadual berlangsung pada 14 Mei di Dewan Serbaguna Telupid dan disempurnakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr Jonnybone J Kurum (gambar).

Turut dijadual hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, selain Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison dan Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony.

Sementara itu, majlis penutupan festival pada 15 Mei dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Penganjur berharap Festival Bambu Sabah dapat dijadikan acara tahunan di Telupid dalam usaha memelihara serta memulihara seni budaya tempatan, di samping memperkukuhkan perpaduan komuniti dan merancakkan sektor pelancongan negeri. – Info X