Search

Seorang parah, 10 mangsa terlibat kemalangan tiga kenderaan di Beluran

May 11, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Jaya Bakti, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kemalangan melibatkan dua buah Perodua Bezza dan sebuah Proton dengan keseluruhan 10 mangsa terlibat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 7.01 pagi sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza merah, Perodua Bezza biru dan sebuah Proton.

“Dalam Perodua Bezza merah, tiga wanita dewasa mengalami kecederaan.

“Bagi Perodua Bezza biru pula, dua lelaki dewasa terlibat dengan seorang mengalami cedera parah dan seorang lagi cedera ringan, manakala dua wanita dewasa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua kanak-kanak yang berada di dalam Perodua Bezza biru tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Proton iaitu seorang lelaki dewasa juga dilaporkan selamat tanpa mengalami kecederaan.

“Pasukan bomba menjalankan tindakan awal dengan mengawal keadaan di lokasi kejadian selain membantu mangsa sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tamat sepenuhnya pada jam 8.33 pagi selepas keadaan disahkan selamat. – Info X