TAWAU: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI menggunakan laluan laut di Pelabuhan Tawau, hari ini.
Program pemindahan siri keempat itu membabitkan 121 lelaki dewasa, 24 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 62 tahun.
Semua Orang Yang Dipindahkan (OYD) dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia dengan diiringi pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sehingga kini seramai 2,662 tahanan PATI berjaya dipindahkan dari negeri ini ke negara asal masing-masing.

Menurut kenyataan itu, warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi melakukan pelbagai kesalahan di Sabah iaitu sebanyak 63 peratus, diikuti warga Indonesia 31 peratus, Pakistan tiga peratus, China dua peratus dan lain-lain warganegara satu peratus.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
“Orang ramai juga diminta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,” menurut kenyataan itu. – Info X