SEMPORNA: Cubaan membawa 265 liter petrol menggunakan bot laju di perairan Pulau Siamil terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.
Dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki barang kawalan terbabit.
Rampasan dilakukan hasil serahan kes oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna.
Turut disita sebuah bot laju berwarna biru, satu unit enjin sangkut Yamaha Enduro 75HP serta tiga tong simpanan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,655.30.
KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan.
“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu,” katanya.

Katanya lagi, syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X