KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merombak beberapa jawatan tertinggi parti, termasuk mengisi kekosongan bekas pemimpin parti komponen yang meninggalkan gabungan itu.
Berdasarkan maklumat diperolehi media, Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GRS bagi mengekalkan lima jawatan itu, termasuk empat disandang Presiden parti komponen.
Timbalan Ketua Menteri II itu yang sebelum ini Setiausaha Agung GRS mengisi kekosongan ditinggalkan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berikutan peletakan jawatannya sebelum membawa USNO keluar GRS pada April lalu.
Empat Timbalan Pengerusi GRS yang kekal ialah pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS ‘naik’ pangkat sebagai Setiausaha Agung GRS yang baharu menggantikan Masidi.
Jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS pula diambil alih Setiausaha Agung Gagasan Rakyat yang juga ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi.
ADUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai pula dilaporkan kekal sebagai Ketua Penerangan GRS, manakala seorang lagi pemimpin PBS, Datuk Lo Su Fui yang juga Ahli Parlimen Tawau dilantik sebagai Bendahari Agung GRS.
Difahamkan, rombakan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dihadiri semua Timbalan Pengerusi GRS dan pemimpin tertinggi lain pada Selasa. – Info X