LABUAN: Beberapa rumah di Perumahan MPL Tanjung Aru di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dilanda angin kencang dalam kejadian malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu turut menyebabkan pokok tumbang sehingga menghalang laluan jalan raya di kawasan terbabit.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima satu aduan berhubung kejadian bencana berkenaan sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, namun setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan.

“Pasukan APM bersama agensi berkaitan menjalankan kerja pemantauan, pembersihan serta membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
“Pokok tumbang yang menghalang jalan turut dialihkan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terutama ketika cuaca buruk selain mengelakkan berada berhampiran pokok besar dan struktur yang tidak kukuh.

Katanya, operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi terkawal. – Info X