Search

Dua rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran

May 13, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Dua rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Bersatu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 pagi itu, sebuah rumah separuh kekal terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya.

Turut terbakar sebuah lori Isuzu tiga tan, Proton Wira dan sebuah motosikal yang semuanya dilaporkan hangus 100 peratus.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi kira-kira jam 5.36 pagi.

“Setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dengan keluasan kira-kira 105 meter persegi setiap satu.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga rumah berhampiran.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.39 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X