PENAMPANG: Hobi memelihara burung spesies dilindungi membawa padah apabila seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bundusan Batu 5 Off Jalan Penampang Lama, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 2.15 petang itu, sebanyak 22 ekor burung spesies Murai Batu yang masih hidup bersama 21 sangkar dan dua jebak burung dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM555,000.
Serbuan dijalankan sepasukan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan di sebuah unit premis di Hotel Sera Kila Industrial Center hasil risikan dijalankan pihaknya.
“Hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki Cina tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai pemilik burung berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemui 22 ekor burung spesies Murai Batu yang disimpan tanpa lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek ketika ditemubual mendakwa membeli burung berkenaan daripada kenalannya di sekitar Tawau dan Lawas.

Katanya, suspek juga mengaku memelihara semua burung itu sekadar sebagai hobi.
“Turut dirampas 21 unit sangkar burung dan dua unit jebak burung untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki atau menjual hidupan liar dilindungi tanpa permit sah,” katanya.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda minimum RM30,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
“Tangkapan dan rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X