KOTA KINABALU: Tiga pembantu penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000.
Rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Semua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Kesemua suspek disyaki menerima wang rasuah secara bulanan sebanyak RM500 menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga.
“Wang itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori syarikat terbabit yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dibubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.