Search

Abang ditemukan lemas cuba selamatkan adik

May 16, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan lemas manakala adiknya masih hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berhampiran kawasan perkhemahan di Polumpung Melangkap Baru, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang masih belum ditemui dikenali sebagai Daniel Abdullah, 18.

Manakala abangnya, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan meninggal dunia oleh penduduk Kampung Melangkap sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang juga adik-beradik mengikuti percutian keluarga di lokasi berkenaan.

Katanya, Daniel dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum Zul Hakim cuba menyelamatkannya namun turut hilang dibawa arus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 9.26 pagi.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 10.01 pagi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat dua mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di permukaan sungai menggunakan kaedah water surface searching,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 10.18 pagi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta proses pengecaman keluarga.

“Operasi SAR bagi mengesan seorang lagi mangsa masih diteruskan di sekitar lokasi kejadian,” katanya. – Info X