KOTA KINABALU: Kehadiran Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke sambutan Kaamatan atas jemputan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Keningau pada Ahad mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan ‘kerjasama baharu’ politik di antara kedua-dua pemimpin veteran itu.
Meskipun kehadiran Ketua Pembangkang DUN Sabah itu disifatkan atas semangat Kaamatan yang dirayakan masyarakat Kadazandusun Murut, ramai pemerhati politik menghidu ada sesuatu di sebalik kemesraan kedua-dua pemimpin itu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan.
Shafie dalam perkongsian di akaun Facebook beliau hanya menyebut mengenai sambutan Kaamatan dan berterima kasih kepada Jeffrey atas jemputan ke sambutan itu, tanpa ada sebarang komen politik.
“Terima kasih Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas jemputan ke Sambutan Kaamatan di Keningau hari ini.
“Kaamatan sentiasa menjadi ruang untuk kita berkumpul, bertemu sahabat lama dan meraikan budaya serta tradisi yang menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.

“Suasana yang cukup mesra dan meriah. Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Namun, kebanyakan komen terhadap hantaran itu menyebut soal politik, termasuk melihat kehadiran Shafie dan Jeffrey di pentas Kaamatan sebagai bibit kerjasama politik menjelang PRU16.
Tidak menghairankan timbul spekulasi itu berikutan hubungan politik di antara STAR dan Warisan sebelum ini dilihat agak renggang, malah Jeffrey sering menjadi sasaran kritikan Shafie ketika perbahasan atau soal jawab di DUN ketika ADUN Tambunan itu menjadi Timbalan Ketua Menteri pada penggal DUN yang lalu.
Sambutan Kaamatan itu turut dihadiri Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Mohd Ishak Ayub yang juga ADUN Bingkor.
Meskipun tidak lagi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas keluar dari gabungan itu menjelang PRN17 Sabah pada November lalu, STAR menyokong kerajaan pimpinan Hajiji yang dibentuk selepas pilihan raya itu.
STAR hanya mempunyai dua kerusi DUN iaitu Bingkor dan Tambunan. – Info X