TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar menjala ikan di Sungai Pagalan berhampiran Kampung Nouduh, di sini, sejak petang semalam.
Mangsa Markus @ Marchous Antigang, 74, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang menuju ke sungai berkenaan namun tidak pulang sehingga kini.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi tadi berhubung kejadian itu.
Katanya, sepasukan 12 anggota BBP Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Pasukan bomba bergerak ke IPD Tambunan bagi sesi taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat lain sebelum operasi dijalankan.

“Operasi SAR dijalankan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ dengan bantuan bot rafting milik kakitangan Lobou-Lobou Resort bagi pencarian di kawasan sungai sejauh 9.7 kilometer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi turut membabitkan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima kakitangan Lobou-Lobou Resort, dua anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Tangaban serta tujuh anggota Bomba Komuniti Kampung Rompon.
Setakat ini katanya, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih diteruskan. – Info X