Search

Lelaki maut Myvi terbabas masuk parit

May 19, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam parit berhampiran Stesen minyak Bulatan Sodomon, Jalan Keningau – Apin-Apin, di sini, har ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa Charles Lee Kong Yaw, 59, disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu seorang diri menggunakan Perodua Myvi dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai tiba-tiba terbabas ke kiri bahu jalan sebelum masuk ke dalam parit bersebelahan stesen minyak berkenaan.

“Ketika ditemui, mangsa masih berada di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan pasukan bomba.

“Mangsa kemudian diperiksa anggota Unit Kecemasan Hospital Keningau dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk proses bedah siasat.

“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X