KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang disambut pada akhir Mei dan awal Jun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 akan dilaksanakan mulai 27 Mei hingga 4 Jun 2026 melibatkan keseluruhan 17 barangan meliputi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Katanya, tempoh pelaksanaan skim itu ialah selama sembilan hari dan ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga.
“Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah), kementerian telah mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada 2025. Pertambahan dua jenis barangan itu ialah halia tua import dan ubi kentang (China).
“Bagi SHMMP Hari Gawai 2026 (Sarawak), sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 barangan pada 2025. Satu barangan yang ditambah ialah daging kerbau import (India),” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026, di sini, pada Jumaat.
Katanya, penentuan jenis dan harga maksimum bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2026 dibuat melalui perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya serta mengambil kira pandangan pemain industri.

Bagi SHMMP Kaamatan tahun ini, katanya sebanyak enam jenis barangan di Sabah dan Labuan mencatat penurunan harga, tiga barangan kekal harga (dua di Labuan) manakala dua barangan baharu diperkenalkan.
Untuk Hari Gawai, analisis perbandingan harga bagi tahun 2026 berbanding 2025 menunjukkan sebanyak lima barangan mengalami penurunan harga, tiga barangan kekal pada harga sedia ada, manakala satu barangan baharu.
Armizan berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang membolehkan penentuan harga maksimum dibuat dan harga maksimum yang ditetapkan boleh disemak melalui laman web KPDN.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga,” katanya.
Beliau memberi amaran, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan penalti jika menjual barangan harga terkawal melebihi
harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah):
- Babi hidup
- Daging babi (daging dan lemak)
- Daging babi (perut)
- Daging kerbau import (India)
- Kepak ayam
- Cili kering keriting
- Bawang merah kecil (India)
- Bawang putih (China)
- Bawang kuning besar
- Bawang merah besar
- Halia tua import
- Ubi kentang (China)
Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (WP Labuan):
- Daging babi (daging dan lemak)
- Daging babi (perut)
- Daging kerbau import (India)
- Kepak ayam
- Cili kering keriting
- Bawang merah kecil (India)
- Bawang putih (China)
- Bawang kuning besar
- Bawang merah besar
- Halia tua import
- Ubi kentang (China)
Barangan Harga Terkawal SHMMP Hari Gawai 2026:
- Babi hidup
- Daging babi (daging dan lemak)
- Daging babi (perut)
- Daging kerbau import (India)
- Ayam tua hidup
- Kepak ayam
- Kubis bulat import
- Bawang putih (China)
- Cili kering keriting
- Kelapa biji
- Kelapa parut
- Santan
Ends