Search

Op pusat hiburan: Empat termasuk wanita positif dadah

May 24, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi.

Semua suspek tempatan berusia antara 19 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan dan ujian saringan air kencing dijalankan di dua premis hiburan sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang yang diketuai Asisten Superintenden Polis Bakar Jasa.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan premis hiburan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 28 individu diperiksa sebelum empat daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).

“Empat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan warga tempatan.

“Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan pusat hiburan mematuhi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, beliau menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis menjaga keselamatan komuniti. – Info X