Search

80 Menu Sabahan angkat warisan, galak budaya kebun dapur

May 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program 80 Menu Sabahan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 bukan sekadar mengetengahkan keunikan makanan tradisional negeri ini, malah menjadi platform penting dalam usaha memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar, berkata program yang digerakkan RTM Sabah itu wajar dipuji kerana membawa impak besar terhadap usaha memartabatkan budaya tempatan.

Beliau berkata, makanan tradisional bukan sekadar hidangan harian, sebaliknya mencerminkan sejarah, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun.

“Program seperti ini bukan sahaja mengangkat keunikan makanan tradisional Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini, pada Ahad.

Menurut Jamawi, keistimewaan makanan tradisional Sabah banyak dipengaruhi penggunaan sumber asli dan hasil bumi tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat sejak dahulu.

Katanya, pelbagai menu tradisional di negeri ini menggunakan bahan seperti serai, kunyit, cili, pandan, ulam-ulaman, sayur kampung dan herba tempatan yang lazimnya ditanam sendiri di halaman rumah atau kebun dapur.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar festival makanan semata-mata, sebaliknya turut membawa mesej penting mengenai kepentingan Inisiatif Kebun Dapur dalam kehidupan masyarakat masa kini.

“Amalan berkebun perlu terus digalakkan kerana mampu menyediakan sumber makanan segar dan sihat untuk keluarga selain membantu menjimatkan perbelanjaan harian.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, amalan menanam sendiri bahan asas masakan di rumah adalah satu langkah yang sangat baik dan praktikal,” katanya.

Jamawi berkata, banyak menu tradisional Sabah yang diketengahkan tidak akan lengkap tanpa penggunaan bahan segar daripada kebun dapur, sekali gus menyerlahkan keunikan makanan warisan yang dekat dengan alam serta gaya hidup masyarakat setempat.

Beliau yakin sekiranya inisiatif kebun dapur terus diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda, ia mampu membantu memelihara warisan makanan tradisional selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan pertanian komuniti dan amalan hidup lestari.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata RTM sebagai medium penyiaran utama negara memainkan peranan besar dalam menyatukan rakyat melalui penyampaian maklumat, pendidikan dan hiburan sepanjang lapan dekad.

Katanya, penganjuran program berteraskan budaya dan komuniti seperti itu amat bertepatan dengan semangat Sambutan Hari RTM kerana bukan sahaja meraikan sejarah penyiaran negara, malah mengangkat budaya, warisan serta gaya hidup masyarakat tempatan.

Jamawi turut melihat program itu sebagai platform terbaik mempromosikan pelancongan gastronomi negeri ini, khususnya bersempena Tahun Melawat Sabah.

“Makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan cerita tentang budaya, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa menyokong usaha seumpama itu dan berharap ia terus diperkasakan pada masa hadapan.

Pada majlis sama, Jamawi turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha dan Pesta Menuai kepada semua yang meraikannya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah RTM Sabah, Yusni Mohamad Ali. – Info X