SEMPORNA: Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), di sini, yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu mengalami kerosakan serius akibat aktiviti pengeboman ikan yang dikesan pada Sabtu lalu.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata aktiviti haram itu dilaporkan Renjer Kehormat Taman-Taman Sabah.
Bagaimanapun, katanya suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi kejadian.
“Saya memandang serius serta melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap insiden pengeboman ikan yang berlaku di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna.
“Maklumat awal mengenai kejadian ini telah diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei 2026 sekitar jam 11.40 pagi. Walau bagaimanapun, suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi kejadian,” katanya.
Pemantauan awal selepas kejadian itu oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) pada hari yang sama, katanya mendapati terdapat dua kawah yang dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang terbabit.
Selepas itu, katanya pemantauan lanjut pada Isnin (25 Mei 2026) oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan insiden itu mengakibatkan kemusnahan serius terhadap ekosistem marin di kawasan berkenaan.
“Penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 frame reef star telah terjejas melibatkan keluasan kerosakan sekitar 15 meter persegi, bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi.
“Kebanyakan spesies karang yang terkesan terdiri daripada Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang telah dipulihara dan dipulihkan secara berterusan sejak dua tahun lalu melalui usaha restorasi yang melibatkan pelbagai pihak.
“Dari sudut kerugian dan impak pemuliharaan, anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan yang terjejas mencecah sekitar RM96,000, selain kerosakan terhadap struktur reef star yang dianggarkan bernilai sekitar RM3,000.
“Penilaian perkhidmatan ekosistem (ecosystem service evaluation) turut menunjukkan kawasan ini mempunyai nilai manfaat ekologi dan sumber marin yang amat tinggi,” katanya.
Jafry berkata, insiden itu amat membimbangkan kerana bukan saja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin yang dibangunkan sejak sekian lama, malah turut mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong, selain berpotensi menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.
“Saya turut dimaklumkan bahawa keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot, serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan merupakan antara cabaran utama dalam memperkukuhkan keupayaan tindakan balas pantas (fast response) di lapangan.
“Sehubungan itu, saya telah meminta pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk meneliti serta memperkukuhkan langkah-langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, termasuk aspek penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi seperti dron serta pengukuhan kehadiran fizikal pasukan penguat kuasa di kawasan-kawasan berisiko tinggi bagi mempertingkat kawalan dan perlindungan di TMTS.
“Saya juga menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri ini dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau pencerobohan di kawasan taman,” katanya
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan demi memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus terpelihara untuk generasi masa hadapan. – Info X