KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan ajaran sesat ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dewan sebuah sekolah menengah di Likas, semalam.
Operasi itu dijalankan ketika satu program yang menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani sedang berlangsung sempena Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang diadakan dari 29 hingga 31 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program berkenaan.
Katanya, hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan sejak 2007.
“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.
“Program itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) selain ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan.
Selain itu, katanya, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran terbabit, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan turut dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Syed Lot berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya. – Info X