Search

Power bank dipercayai milik pencari sarang burung walit hilang ditemui dalam gua

June 1, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Pengecas mudah alih (power bank) dipercayai milik seorang lelaki yang hilang ketika mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama, di sini, ditemui pasukan penyelamat pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Bagaimanapun, petunjuk berkenaan masih belum membawa kepada penemuan mangsa yang dikenali sebagai Ismail Ibrahim, 61, yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid mengesahkan penemuan itu ketika operasi SAR yang disambung semula bermula jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, pasukan penyelamat berjaya memasuki lubang menegak pertama dan tiba di lokasi terakhir mangsa dilaporkan ditinggalkan oleh rakannya.

“Semasa operasi pencarian dijalankan, pasukan menemui sebuah power bank yang dipercayai milik mangsa di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di sekitar lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat turut mengenal pasti satu lagi lubang baharu yang berpotensi diterokai.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, lubang itu dipercayai belum pernah dimasuki atau diterokai mana-mana pihak sebelum ini.

“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 4 petang dan akan disambung semula esok,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di dalam Gua Tepadung bersama dua rakannya.

Menurut maklumat, kedua-dua rakannya keluar dari gua untuk mencari sumber air minuman dan meninggalkan mangsa bersendirian di dalam gua berkenaan.

Namun, apabila mereka kembali semula ke lokasi mangsa ditinggalkan, lelaki itu didapati sudah hilang sebelum usaha pencarian dilakukan, tetapi gagal menemuinya. – Info X