Search

Dua rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran

June 3, 2026

Info X Reporters

TAMPARULI: Kebakaran yang berlaku di belakang Gereja St Philip, di sini, tengah malam tadi, memusnahkan dua rumah dan tiga kenderaan selain menyebabkan sebuah lagi rumah serta sebuah kenderaan mengalami kerosakan.

Dalam kejadian itu, dua rumah jenis separuh kekal terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus.

Sebuah Isuzu D Max turut rosak 20 peratus akibat bahang kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota BBP Tuaran bersama tujuh anggota dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 1.01 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal dan beberapa kenderaan.

“Rumah pertama dan kedua yang masing-masing berkeluasan kira-kira 60 meter persegi terbakar sepenuhnya, manakala rumah ketiga yang berkeluasan sekitar 93 meter persegi terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran turut memusnahkan sebuah Proton Satria, Perodua Viva dan Mercedes, manakala sebuah Isuzu D Max mengalami kerosakan sekitar 20 peratus.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.11 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X