Search

Bandar Baharu Milinium bawa perubahan besar di Tongod

June 3, 2026

Info X Reporters

TONGOD: Tongod yang dikategorikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia bakal melalui perubahan besar berikutan pembangunan Bandar Baharu Milinium, di sini, yang dijangka dimulakan tidak lama lagi.

ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata satu kawasan seluas 1,000 ekar akan dimajukan untuk projek berimpak tinggi itu menerusi kerjasama sektor swasta dan kerajaan negeri.

Katanya, cadangan projek itu sudah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tongod pada minggu lalu.

Hajiji dan Masiung sebelum itu diberi taklimat oleh delegasi syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd diketuai Pengarah Urusannya, Robin Lim mengenai cadangan pembangunan bandar baharu itu.

Masiung berkata, syarikat berkenaan menyampaikan hasrat membangunkan projek mega yang terpenting di tengah Sabah itu di tapak tanah 1,000 ekar berdekatan Pekan Tongod.

“Seluas 200 ekar daripada jumlah itu diperuntukkan untuk membangunkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, Persekutuan dan agensi kerajaan yang disusun berkonsepkan mini Putrajaya.

“Jabatan-jabatan kerajaan yang berselerak di daerah ini akan ditempatkan di pusat pentadbiran berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan digital dan teknologi maklumat,” katanya.

Menurut Masiung, daerah Tongod sedang bersiap bersedia untuk fasa tranfomasi baharu berimpak tinggi yang bakal merubah wajah daerah ‘The Heart of Sabah’ itu.

Cadangan bandar milinium itu, katanya melibatkan pembinaan beberapa deret bangunan kedai dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, stesen minyak, pasaraya dan hotel.

Turut dibina termasuklah pusat perindustrian, perumahan kos sederhana dan mampu milik, hospital serta sekolah selain sebuah lapangan golf serta kemudahan rekreasi awam.

Pengerusi Kumpulan SEDCO itu bagaimanapun, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Corak Nahkoda dan pihak berkepentingan bagi menambah baik cadangan berkenaan sebelum draf perjanjian ditandatangani.

Mengulas lanjut, Masiung berkata, projek bercampur itu bakal mengubah status Tongod yang didakwa sebagai daerah termiskin di negara ini.

Projek mega itu, katanya disasar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka ruang perniagaan kepada penduduk tempatan.

“Apabila terlaksana sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia dijangka akan menutup tirai status Tongod sebagai daerah termiskin,” katanya. – Info X