PENAMPANG: Seorang wanita warga emas cedera selepas terjatuh di lereng bukit ketika menebang pokok di Kampung Noosob, Jalan Tuntuluk, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.54 petang itu, mangsa berusia 77 tahun dipercayai terjatuh dari lereng bukit berketinggian kira-kira dua meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.54 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.02 petang.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati seorang wanita warga emas mengalami kecederaan selepas terjatuh di lereng bukit ketika menjalankan kerja menebang pokok.
“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa menggunakan pengusung (stretcher) dan tangga dari kawasan lereng bukit ke lokasi yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.28 petang,” katanya. – Info X