Search

Isteri orang, lelaki bujang dicekup dalam Ops Cegah Maksiat

June 8, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Seorang penjawat awam yang masih berstatus isteri orang antara individu yang ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat dijalankan penguat kuasa Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak, pada Ahad lalu.

Wanita itu ditahan bersama seorang lelaki bujang dalam serbuan di sebuah rumah sewa di daerah ini hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihak penguat kuasa.

Pejabat JHEAINS Daerah Kunak dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang bermula jam 1.30 petang dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan membanteras gejala maksiat serta memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang syariah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit yang masih berstatus isteri orang berada bersama seorang lelaki bujang di dalam rumah sewa berkenaan.

“Kedua-dua individu itu kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat JHEAINS Daerah Kunak untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa.

“Operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak dan memelihara kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, JHEAINS Kunak turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga batas pergaulan, mematuhi tuntutan syariat Islam dan mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada kesalahan jenayah syariah.

Katanya, kerjasama serta keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras gejala maksiat dan mengekalkan keharmonian sosial.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi hukum syarak boleh menyalurkannya kepada Pejabat JHEAINS Kunak bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X.