KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah belum mengadakan sebarang perbincangan atau membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan logo dan bentuk kerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Datuk Chan Foong Hin, berkata sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya diumumkan melalui saluran rasmi apabila tiba masanya.
“Hakikatnya, sehingga hari ini, tiada sebarang perbincangan dan keputusan muktamad dibuat oleh PH Sabah berhubung penggunaan logo atau bentuk kerjasama pilihan raya yang akan dilaksanakan.
“Sebarang keputusan hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu menyusul selepas sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kemungkinan PH Sabah bertanding atas logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU16.
Chan menyifatkan laporan itu mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah PH Sabah sudah membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo GRS pada pilihan raya akan datang.
Katanya, PH Sabah sentiasa mengutamakan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah.
Sehubungan itu, jelasnya segala pertimbangan berkaitan kerjasama politik dan strategi pilihan raya akan dibuat berdasarkan prinsip itu dan memastikan kesinambungan agenda pembangunan untuk rakyat.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa PH Sabah telah memutuskan untuk bertanding menggunakan mana-mana logo tertentu.
“Pada masa yang sama, PH Sabah tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh dipersetujui bersama oleh pihak-pihak yang terlibat demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“Kami berharap semua pihak, termasuk media, dapat melaporkan perkara ini secara tepat dan tidak membuat tafsiran yang mendahului proses perbincangan yang masih berlangsung,” katanya. – Info X