Search

MURID TADIKA TERJATUH DALAM LUBANG PEMBENTUNGAN

July 20, 2022

admin

LAHAD DATU: Seorang murid tadika menempuh detik cemas apabila terjatuh ke dalam lubang pembentungan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahad Datu 4, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia lima tahun yang terjatuh ke dalam pembentung sedalam 5 meter itu bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 pagi.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya dinaikkan oleh orang awam di sekolah berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba, bagaimanapun kanak-kanak itu mengalami masalah muntah-muntah.

“Mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.42 pagi. – Info X