TAWAU: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan pada awal bulan ini.
Tertuduh, Tarasani Baltapa, 50, Jumsele Ingsang, 38, dan Mahandias Sabturani, 37, masing-masing diperintah membayar denda itu atau berdepan penjara tiga bulan jika gagal membuat bayaran.
Hukuman itu dijatuhkan hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan ketika berada di sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan Tanjung Kiraz, pada jam 2.30 petang, 2 Jun lalu.
Berikuran itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Laester Bulun, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X