Search

Minggu Perpaduan 2026 Gegar Sabah sasar 250,000 pengunjung

June 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 250,000 pengunjung dijangka memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pekarangan Stadium Likas di sini, bermula 11 hingga 14 Jun ini.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun, sekali gus menjadi antara acara perpaduan terbesar yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya dari seluruh negara.

Bertemakan ‘Bersama Membina Negara Bangsa’, sambutan berkenaan membawa mesej penting dalam memperkukuh keharmonian rakyat serta membentuk jati diri masyarakat Malaysia yang berteraskan semangat saling menghormati dan menerima kepelbagaian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Sambutan Minggu Perpaduan menjadi platform penting dalam menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang menerusi pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi, persefahaman dan kebersamaan.

Beliau berkata, usaha memupuk nilai saling menghormati, memahami dan menerima kepelbagaian dalam komuniti setempat merupakan asas kukuh ke arah pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan sejahtera.

“Perpaduan yang bermula di peringkat akar umbi akan menjadi kekuatan utama dalam menjamin kestabilan, kemajuan dan kemakmuran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang empat hari penganjuran, lebih 50 aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung melibatkan pelbagai segmen masyarakat termasuk keluarga, golongan belia, pelajar dan komuniti setempat.

Antara tarikan utama ialah Pameran Rumah KAMI yang menampilkan rumah etnik mewakili 15 komuniti termasuk Kadazan, Rungus, Murut, Chetti, Portugis, Iban, Orang Ulu dan Bajau.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai pameran berkaitan adat perkahwinan tradisional, permainan warisan, alat muzik tradisional, pakaian etnik serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan kekayaan warisan masyarakat Malaysia.

Turut disediakan ialah Perkampungan Etnik Melayu, Cina, India, Baba Nyonya dan Siam yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya serta tradisi masyarakat pelbagai kaum dengan lebih dekat.

Selain itu, sambutan berkenaan turut menampilkan Pameran Bersama Membina Negara Bangsa, Pameran Raja Kita: Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Jualan Rahmah, jualan usahawan tempatan serta pameran aset keselamatan dan perkhidmatan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.

Bagi menarik minat generasi muda, pelbagai program berteraskan pendidikan dan teknologi turut disediakan termasuk pesta buku, sukan tradisional, pertandingan e-sukan, Kembara Ilmu @ Sabah, Pameran Petrosains, pengalaman realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) Metaverse serta Sudut Baca@Cafe.

Sambutan itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan dan persembahan hiburan seperti Pertandingan Sabah Idol, Pertandingan Ratu Perpaduan, Pertandingan Tarian Etnik Kreatif serta Konsert Malam Unity Sama-sama.

Konsert berkenaan bakal menampilkan barisan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Awie, Jaclyn Victor, Velvet Aduk, Qiqi Chen, Estranged dan Zubir Khan.

KPN mengajak orang ramai, khususnya masyarakat di Sabah, untuk hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan berkenaan yang dibuka secara percuma kepada semua pengunjung.

Menurut kementerian itu, penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan di Sabah diharap dapat menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan nasional serta memperluaskan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negara. – Info X