Search

Lelaki mengamuk, rosakkan harta benda ditahan

June 11, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental yang sebelum ini dilaporkan bertindak agresif sehingga mencederakan orang awam dan merosakkan harta benda di sekitar pekan Kota Belud berjaya ditahan polis, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berkenaan dikesan dan ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi tujuan keselamatan awam serta tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, tindakan segera diambil susulan beberapa laporan dan kebimbangan masyarakat terhadap tingkah laku individu berkenaan yang dipercayai boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Menurutnya, selepas ditahan, lelaki terbabit dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati individu berkenaan mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang.

“Semakan lanjut juga mendapati dia tidak mempunyai waris terdekat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta memantau keadaannya,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, tindakan yang diambil adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 yang membolehkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai boleh membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda diambil ke dalam jagaan untuk pemeriksaan perubatan segera.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan individu berkenaan dipercayai bertindak agresif di sekitar pekan Kota Belud sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam dan premis perniagaan.

Lelaki itu turut didakwa mengganggu kemudahan awam termasuk merosakkan suis bekalan elektrik serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan.

Shahrudin berkata, polis telah melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak hospital serta agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan individu terbabit terpelihara.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan polis.

“PDRM akan terus mengambil langkah proaktif dan sewajarnya bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya. – Info X