Search

Warga emas ditahan, pelbagai hasil hidupan liar dilindungi dirampas

June 11, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tembelang seorang warga emas yang dipercayai menyimpan pelbagai hasil hidupan liar dilindungi terbongkar selepas serbuan pihak berkuasa menemukan daging rusa, kijang, landak serta seekor tenggiling di sebuah rumah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau – Semporna, hari ini.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Batalion 22, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak itu, lelaki tempatan berusia 86 tahun berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

JHL Sabah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan sebuah peti sejuk yang dipercayai menyimpan pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi.

Menurutnya, antara yang dirampas ialah daging rusa, kijang dan landak selain seekor tenggiling serta seekor monyet yang masih hidup.

“Suspek dipercayai memiliki hidupan liar dan hasil hidupan liar tanpa dokumen atau permit yang sah.

“Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi secara haram kepada pelancong di daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurut kenyataan itu, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun.

JHL Sabah menegaskan pemilikan, perdagangan dan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar secara haram diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pemuliharaan serta penguatkuasaan. – Info X