KOTA KINABALU: Sebanyak 94 peratus daripada 33 premis yang diperiksa di seluruh Sabah didapati mematuhi keperluan mempamerkan Perakuan Bomba menerusi Ops Pamer 2026 yang dijalankan serentak pada 10 Jun lalu.
Bagaimanapun, dua premis atau enam peratus daripada jumlah yang diperiksa didapati gagal mematuhi syarat berkenaan dan dikenakan kompaun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pasar raya dan pusat beli-belah bagi memastikan Perakuan Bomba dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat orang awam.
Menurutnya, tindakan itu selaras dengan Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001.
“Ops Pamer bukan sekadar operasi penguatkuasaan, malah bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan budaya pematuhan terhadap peraturan keselamatan kebakaran dalam kalangan pemilik serta pengurusan premis.
“Perakuan Bomba adalah bukti sesebuah premis yang ditetapkan telah memenuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh jabatan. Oleh itu, sijil berkenaan perlu dipamerkan pada setiap masa di lokasi yang mudah dilihat pengunjung dan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi ialah gagal mempamerkan Perakuan Bomba, mempamerkan sijil di lokasi yang sukar dilihat serta menyimpannya di pejabat pengurusan tanpa dipamerkan kepada orang awam.
Mohd Pisar berkata, walaupun kadar pematuhan yang direkodkan adalah memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam meningkatkan kefahaman pemilik premis mengenai tanggungjawab undang-undang berkaitan keselamatan kebakaran.
Menurutnya, JBPM Sabah akan terus melaksanakan pemeriksaan berkala, operasi penguatkuasaan dan program advokasi bagi memastikan tahap pematuhan terus meningkat di seluruh negeri.
“Premis yang gagal mematuhi peruntukan berkaitan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan lebih tegas mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341),” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Ops Pamer 2026 mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis mengenai kepentingan pematuhan aspek keselamatan kebakaran sekali gus membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada orang awam. – Info X