Search

Polis serbu ‘port’ sabung ayam

June 15, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Kegiatan perjudian sabung ayam yang dipercayai dijalankan secara rahsia di sebuah rumah di Kampung Buit Hills, di sini, terbongkar selepas diserbu polis dalam operasi khas, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu lokasi berkenaan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian berkenaan.

“Turut dirampas dalam operasi itu ialah lapan ekor ayam hidup, satu gelang getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki membabitkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam,” katanya.

Sammy berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram dan perbuatan yang melibatkan penganiayaan terhadap haiwan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X