Search

64 PATI ditahan, kerugian utiliti cecah RM623,450 di Lahad Datu

June 18, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari bermula 16 Jun lalu.

Operasi yang membabitkan 262 pegawai dan anggota pelbagai agensi itu turut mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman.

Nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan yang direkodkan dalam operasi berkenaan dianggarkan mencecah RM623,450.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), selain membanteras kehadiran PATI dan aktiviti ekonomi tidak sah.

Katanya, operasi ini turut bertujuan melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang.

“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone.

“Pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 247 individu di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung sekitar Lahad Datu mendapati 64 daripadanya adalah PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua individu terbabit diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Dalam operasi sama, katanya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun dan memulakan dua tindakan pendakwaan membabitkan nilai penguatkuasaan RM133,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.

“Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) turut mengeluarkan kompaun RM500 dan menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM1,150,” katanya.

Sementara itu, katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup dan minuman keras tanpa lesen bernilai RM30,000.

Dalam pada itu, Victor berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas 150 kilogram kabel sambungan haram serta 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800.

“SESB menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram berkenaan mencecah RM429,600 setahun,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan elemen keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia mampu mengesan pelbagai pelanggaran yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“Selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, agensi ini akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal,” katanya. – Info X