KOTA KINABALU: Peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, menafikan memasukkan ikan dalam badan sotong bagi menambah berat makanan laut itu apabila dibeli pengguna.
Penafian itu dijelaskan kepada Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika menyiasat aduan pengguna yang mengesyaki ditipu peniaga apabila mendapati sotong dibelinya ‘disumbat’ dengan ikan, dipercayai bagi menambah berat.
Aduan yang disertakan dengan gambar sotong bersama dua ekor ikan ditemui dalam perut sotong itu tular di media sosial, sebelum KPDN menjalankan siasatan terhadap peniaga yang dimaksudkan.
“Susulan aduan tersebut, satu pasukan operasi KPDN Sabah telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan penjelasan daripada peniaga yang terlibat.
“Hasil siasatan awal mendapati peniaga memaklumkan bahawa keadaan tersebut bukan dilakukan secara sengaja bagi menambah berat timbangan.
“Menurut peniaga, ikan dan sotong ditangkap secara bercampur dan berkemungkinan terdapat ikan yang masih hidup memasuki rongga badan sotong semasa berada dalam hasil tangkapan sebelum dipasarkan.
“Selain itu, bahagian dalam sotong sememangnya mengandungi sisa makanan daripada habitat semula jadinya yang dalam keadaan tertentu boleh masih menyerupai bentuk seekor ikan yang belum hadam sepenuhnya,” kata kenyataan KPDN Sabah pada Jumaat.
Kenyataan itu menyebut, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh KPDN Sabah mendapati peniaga terbabit secara keseluruhannya mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.
“Pemeriksaan turut mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas kepada pengguna, manakala alat timbang yang digunakan masih mempunyai sijil penentusahan yang sah dan berada dalam tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut KPDN Sabah memberi teguran dan nasihat kepada peniaga supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap semua hasil dan produk makanan laut sebelum dipasarkan kepada pengguna.
Langkah itu, katanya penting bagi memastikan produk yang dijual dalam keadaan baik, mengelakkan kekeliruan pengguna serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap amalan perdagangan yang dijalankan.
“KPDN Sabah akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian.
“Selain itu, pengguna disaran menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X