KOTA KINABALU: Tindakan seorang pengguna media sosial dipercayai memuat naik komen berunsur penghinaan dan kata-kata kesat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT), Tun Musa Aman, mengundang kecaman ramai selepas kandungan itu tular di media sosial.
Susulan itu, Pengerusi Wakil Pertubuhan Kebajikan Komuniti Kingfisher Sabah (PERKINGSA), Mohd Zul Feqar Mudry tampil membuat laporan polis di Balai Polis Alam Mesra, di sini, malam tadi bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit.
Dalam laporan berkenaan, Mohd Zul mendakwa melihat satu komen dimuat naik oleh akaun Facebook menggunakan nama “Rosnan Nan” dalam ruangan komen Facebook rasmi TYT Sabah kira-kira jam 9.13 malam, sebelum tangkap layar kandungan itu mula tersebar luas di media sosial.
Menurutnya, komen terbabit mengandungi pelbagai perkataan kesat, makian serta penghinaan yang jelas ditujukan kepada TYT Sabah.
Beliau berkata, kandungan berkenaan bukan sahaja melampaui batas kesopanan dan adab masyarakat, malah boleh menjejaskan maruah, reputasi serta kedudukan institusi Yang diPertua Negeri Sabah.
“Dalam laporan polis itu, saya menyatakan komen berkenaan berpotensi menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap TYT Sabah selain mengganggu ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.
“Ia juga boleh mencemarkan imej institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah dan menggalakkan budaya komunikasi tidak beradab serta bersifat provokatif dalam media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik sebenar akaun Facebook berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Mohd Zul turut menyertakan tangkap layar komen terbabit sebagai bahan rujukan dan bukti bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, laporan polis itu dibuat demi kepentingan awam selain memastikan media sosial tidak disalahgunakan untuk menyebarkan penghinaan, kebencian dan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Terdahulu, tangkap layar komen berkenaan tular di beberapa platform media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit bagi memastikan pengguna media sosial lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dimuat naik. – Info X