KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menuntut penjelasan jelas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung sama ada persetujuan rasmi Kerajaan Sabah diperoleh sebelum pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (AKPS) diperluaskan ke negeri itu.
Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkannya di Parlimen sebelum ini masih belum dijawab secara langsung walaupun penjelasan diberikan Menteri berkaitan menyentuh beberapa aspek proses rundingan dan libat urus dengan kerajaan negeri.
Menurutnya, soalan yang dikemukakan adalah mudah dan hanya memerlukan jawapan sama ada “ya” atau “tidak” berhubung status persetujuan Sabah terhadap pelaksanaan akta berkenaan.
“Dalam jawapan yang diberikan, Menteri menyatakan Kerajaan Sabah telah dirujuk, memberikan ulasan, terlibat dalam sesi libat urus serta bersetuju menyerahkan sembilan pintu masuk kepada AKPS.
“Namun perkara pokok yang saya tanyakan tidak dijawab secara langsung, iaitu sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi daripada Kerajaan Sabah sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius berkata, proses dirujuk atau sesi libat urus tidak boleh dianggap sebagai persetujuan rasmi seperti yang diperlukan dalam perkara yang menyentuh hak serta autonomi Sabah.
Katanya, mendapatkan pandangan kerajaan negeri juga tidak semestinya bermaksud kelulusan atau persetujuan telah diberikan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila sesuatu tindakan melibatkan hak-hak istimewa dan kedudukan Sabah yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.
Menurutnya, jawapan yang diberikan juga tidak menyentuh beberapa perkara penting termasuk Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, persetujuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau keputusan Kabinet Negeri yang berkaitan.
“Jika persetujuan itu telah diperoleh, mengapa sukar untuk menyatakan ‘ya’. Jika tidak diperoleh, mengapa tidak dijawab ‘tidak’.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar kerana isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi membabitkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak dan autonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Tuaran, beliau akan terus menuntut penjelasan berhubung perkara itu dan memastikan hak perlembagaan Sabah terus dipertahankan.
“Hak Sabah tidak boleh dipertahankan melalui andaian, tafsiran atau jawapan yang mengelak. Dalam perkara yang melibatkan hak perlembagaan negeri ini, rakyat Sabah berhak mendapat jawapan yang jelas, jujur dan terus kepada pokok persoalan.
“Persoalan yang masih belum terjawab sehingga hari ini ialah sama ada persetujuan Kerajaan Sabah telah diperoleh atau tidak sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke Sabah,” katanya. – Info X