Search

Suami tetak isteri akibat cemburu

June 25, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang wanita parah akibat ditetak suami yang dikatakan cemburu selepas dituduh berbual dengan jiran lelaki, dalam kejadian Kampung Mangkupa, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun dilaporkan terselamat namun mengalami 14 kecederaan termasuk kesan tetakan di leher.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, hasil siasatan awal, suspek warga Indonesia berusia 50 tahun sudah berkahwin dengan mangsa selama 19 tahun dan mempunyai enam orang anak.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang pergi ke halaman rumah ditegur oleh suspek dan mengarahkannya supaya tidak berbual dengan jiran-jiran lelaki.

“Mangsa kemudiannya menafikan ada berbual dengan jiran lelaki sehingga berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri terbabit.

“Suspeknyang berang dikatakan bertindak mengambil parang di dapur sebelum memyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak saudara sebelum salah seorang jiran menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, hasil temubual dengan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu, wanita terbabit mendakwa kejadian berpunca dari sikap cemburu suspek yang melihatnya bertegur dengan jiran–jiran lelaki.

“Malah suspek dikatakan sering menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran namun mangsa menafikannya.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizebeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X