Search

Ribuan penyokong dijangka meriahkan Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia

June 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ribuan penyokong Manchester United dijangka membanjiri Dewan Hakka, di sini, Sabtu ini, sempena Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Kali Ke-8, selepas semua tiket rasmi habis dijual.

Pengerusi penganjur, Bryan Faurillo, berkata semua tetamu disaran hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, khususnya berikutan ruang parkir yang terhad di lokasi majlis.

Katanya, sambutan terhadap acara tahunan itu terus meningkat saban tahun hasil semangat yang ditunjukkan ahli dan peminat Manchester United dari seluruh negara.

“Setiap tahun majlis ini semakin meriah kerana semangat yang dibawa oleh ahli-ahli kami dan peminat Manchester United.

“Tahun ini kami menjangkakan kehadiran ribuan orang dan walaupun kami tidak sabar untuk bertemu semua orang, ruang letak kereta di venue adalah terhad. Hadir awal adalah cara paling bijak untuk memulakan malam tanpa tekanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Faurillo berkata, tetamu yang hadir awal turut berpeluang memenangi cabutan bertuah ‘early bird’ dengan hadiah utama berupa pakej perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford, gelanggang keramat Manchester United yang dikenali sebagai ‘Theatre of Dreams’.

“Anda tidak akan tahu bila pengacara majlis akan mengumumkan cabutan bertuah ‘early bird’. Kami menyediakan sesuatu yang istimewa apabila seorang pemenang bertuah akan membawa pulang hadiah perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford seawal permulaan majlis.

“Jika mahu merebut peluang itu, pastikan anda sudah berada di tempat masing-masing lebih awal,” katanya.

Majlis makan malam berkenaan meneruskan tradisi menghimpunkan penyokong Manchester United dari seluruh negara termasuk Kuching, Kuala Lumpur dan Sabah, dengan lebih 1,000 tetamu dijangka hadir.

Sebagai sebahagian daripada acara itu, sekurang-kurangnya 10 ahli bertuah akan memenangi pakej perjalanan ditanggung sepenuhnya ke Old Trafford menerusi beberapa siri cabutan bertuah.

Pakej berkenaan merangkumi tiket perlawanan, penerbangan dan penginapan, sekali gus merealisasikan impian mana-mana penyokong setia Manchester United untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di laman sendiri.

Faurillo berkata, majlis berkenaan diwujudkan khusus untuk menghargai ahli dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada kelab penyokong rasmi Manchester United di Malaysia.

“Kami membina majlis ini untuk ahli dan peminat kami. Merekalah sebab ia menjadi kenyataan, sama seperti di Kuching dan Kuala Lumpur sebelum ini.

“Jadi hadirlah awal, datanglah dengan selera dan bersedialah menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa. Mari kita jadikan majlis ini yang terbesar dan paling ‘United’ setakat ini,” katanya. – Info X