Search

Inkues Zara: Pakar bebas setuju tidak boleh bercanggah dengan dapatan pemeriksa Jabatan Kimia

June 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen bersetuju dapatannya tidak boleh bercanggah dengan pakar pemeriksa dokumen lain berhubung tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu dijelaskan pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen, Dr Linthini Gannetion pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.

Saksi ke-74 itu yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menjawab pertanyaan peguam Azhier Farhan Arisin berhubung dapatan Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Noh.

Pemeriksa kerajaan dengan 21 tahun pengalaman itu adalah antara saksi awal yang memberi keterangan dalam inkues untuk mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina yang bermula pada September tahun lalu.

Linthini pula yang berpengalaman lapan tahun berkata, dapatannya tidak boleh bercanggah jika beliau disediakan sampel, namun pada masa yang sama turut mengaku tidak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap Nurul Atiqah.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak semestinya berlaku jika keadaan adalah sebaliknya.

“Tidak juga, hanya jika saya diberikan sampel saya tidak boleh bercanggah. Saya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap Nurul Atiqah,” katanya.

Azhier sebelum itu meminta kepastian Linthini sama ada betul atau tidak beliau tidak boleh bercanggah dengan kesimpulan pemeriksa kerajaan bahawa dokumen yang diperiksanya adalah tulisan arwah Zara Qairina.

Linthini, 34, adalah saksi pakar bebas yang dibawa peguam mewakili ibu Zara Qairina bagi menyediakan laporan untuk inkues berkenaan.

Beliau memeriksa dokumen yang ditanda Y1 hingga Y15 bagi menentukan sama ada terdapat tanda gangguan pihak tidak diberi kuasa dalam kandungan dokumen terbabit.

Pemeriksaannya mendapati ada muka surat yang dibuka, berlainan jenis dakwat di beberapa bahagian dan tulisan yang dilenyapkan serta berlainan corak tarikh di beberapa muka surat.

Dapatan itu, katanya membawa kepada kesimpulan bahawa elemen usikan dalam Y1 hingga Y15 tidak dapat disimpulkan secara muktamad.

Beliau juga menjelaskan ada tanda-tanda usikan yang dikesan, namun tidak cukup untuk dibuktikan.

Berikutan itu, Linthini menjawab tidak dapat ditentukan apabila Azhier berkata adalah tidak adil bukti yang dikemukakannya memberitahu bahawa tulisan mengenai keadaan minda arwah ‘bukan ditulis oleh Zara’.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas itu.

Selepas kematiannya, timbul persoalan mengenai punca sebenar kematiannya, termasuk sama ada arwah terjun dari tingkat atas bangunan atau ada unsur lain yang memerlukan siasatan lanjut.

Berikutan itu, inkues kematiannya diwujudkan dengan memanggil pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, anggota polis, doktor dan pakar perubatan serta pakar lain yang berkaitan bermula pada September 2025.

Inkues itu yang dijadual berlanjutan hingga Oktober depan bertujuan mencari punca kematian arwah berdasarkan keterangan semua saksi yang dipanggil Mahkamah Koroner. – Info X