SANDAKAN: Sembilan gerai jenis separuh kekal di Kampung Pening Lalat, Karamunting, di sini musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi membabitkan 16 anggota dari BBP Sandakan dengan bantuan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compressed Foam Rescue Tender (CFRT) dan Water Tanker.
“Sebaik tiba pada jam 11.58 pagi, api didapati sedang marak membabitkan deretan gerai berkeluasan kira-kira 80 x 200 kaki dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air dari jentera serta sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah hari sebelum kerja-kerja pemadaman dan pengesanan punca api diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar,” katanya. – Info X