Search

Wiranita STAR Bingkor keluar parti

June 28, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bingkor, Jennifer Epil mengumumkan peletakan jawatan dan penarikan diri daripada parti, berkuatkuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, beliau yang juga Naib Exco Wiranita STAR, berkata keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita STAR Bahagian Bingkor.

Katanya, mereka mencapai kata sepakat untuk menarik diri daripada parti selepas melalui pertimbangan yang teliti dan matang.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta ruang dan peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang tidak lagi seiring dengan prinsip serta pendirian kami,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jennifer merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan STAR atas segala kepercayaan, peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang pembabitannya dalam parti.

Katanya, pengalaman itu membentuk dirinya dan rakan-rakan sebagai wanita yang lebih berani, bertanggungjawab dan peka terhadap kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah.

Beliau turut menegaskan pengunduran daripada parti tidak bermakna perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat telah berakhir.

“Saya dan rakan-rakan akan terus menyumbang kepada rakyat dalam kapasiti yang lebih sesuai, berkesan serta selaras dengan nilai dan prinsip perjuangan yang diyakini,” katanya. – Info X