Search

Lobi HQE jadi ‘tempat tidur’, langkah tambah baik kemudahan hospital akan diambil – JKNS

June 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam sebagai langkah penambahbaikan di hospital itu.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada Isnin, HQE juga akan menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin dan meningkatkan komunikasi kepada pesakit serta waris berhubung proses menunggu dan keutamaan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) HQE.

“JKNS dan HQE komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit, di samping menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul sebagai maklum balas terhadap satu hantaran di Facebook mengenai keadaan di hospital itu pada tengah malam dan awal pagi yang antara lain memaparkan ramai orang tidur di kerusi menunggu di kawasan lobi dan koridor HQE.

Hantaran itu turut menyatakan situasi di ETD yang ramai pesakit menunggu giliran mendapatkan rawatan, manakala kantin dilaporkan tutup pada 12 tengah malam, selain masalah letak kereta.

JKNS dalam kenyataannya, berkata pesakit di ETD dirawat berdasarkan tahap kecemasan melalui sistem triage, dan bukan semata-mata mengikut nombor giliran.

“Kes yang lebih kritikal akan diberi keutamaan segera. Pada malam berkenaan, perkhidmatan ETD berjalan seperti biasa dengan kehadiran pesakit berterusan.

“Bagi Zon Hijau (Green Zone), seramai 42 pesakit direkodkan antara jam 9:00 malam hingga 10:00 pagi, dengan dua orang pegawai perubatan bertugas di zon tersebut,” katanya.

Berhubung gambar yang memaparkan orang awam berehat atau tidur di ruang lobi dan laluan hospital pada waktu malam, JKNS menjelaskan semakan mendapati mereka bukan pesakit yang sedang menunggu giliran rawatan atau temu janji di ETD.

Katanya, kebanyakan mereka adalah waris, penjaga atau pengunjung yang datang dari luar daerah dan kawasan pedalaman serta mempunyai kekangan untuk mendapatkan penginapan sementara di luar hospital.

“HQE mempunyai balai pelawat. Walaubagaimanapun ianya masih tidak mencukupi untuk waris yang ramai.

“Pihak hospital memahami keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh waris pesakit, khususnya mereka yang datang dari jauh.

“HQE akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi dan laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pesakit, waris dan petugas hospital sentiasa terpelihara,” katanya.

Mengenai operasi kantin hospital, JKNS menjelaskan Kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari, kecuali penutupan sementara pada setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja-kerja pembersihan secara berjadual.

Bagi isu letak kereta, katanya kemudahan parkir di kawasan HQE boleh menjadi terhad pada masa tertentu, khususnya apabila jumlah pesakit, waris dan pengunjung adalah tinggi.

“Pihak hospital akan terus memantau aliran trafik dan pengurusan parkir dengan kerjasama petugas keselamatan bagi mengurangkan kesesakan setakat kemampuan fasiliti sedia ada,” katanya. – Info X