Search

Polis terima notis penganjuran himpunan aman Bangkit Sabahan 2.0

July 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengesahkan hanya menerima satu notis makluman berhubung penganjuran Perhimpunan Aman “Bangkit Sabahan 2.0”.

Manakala sehingga kini, pihak polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman daripada pihak penganjur bagi Perhimpunan Aman “Gempur Rasuah 3.0”.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya maklum mengenai hebahan di media sosial berhubung penganjuran kedua-dua Perhimpunan Aman berkenaan.

Katanya, perhimpunan yang dikenali sebagai “Gempur Rasuah 3.0” dan “Bangkit Sabahan 2.0” yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Julai di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan, pihak penganjur hendaklah terlebih dahulu mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah yang mempunyai bidang kuasa di daerah tempat perhimpunan itu.

“Pihak penganjur bertanggungjawab memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Penganjur juga perlu memastikan ia tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Syed Lot menegaskan pihak penganjur juga bertanggungjawab memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang penganjuran perhimpunan.

Katanya, ia termasuk penyebaran kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), unsur hasutan, provokasi atau apa-apa perbuatan yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan yang boleh menggangu pergerakan pengguna jalan raya serta menjejaskan kelancaran aktiviti harian di sekitar kawasan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya. – Info X