Search

Kaji semula syarat BUDI Diesel, bantu pengusaha muda sektor pertanian – Jamawi

July 8, 2026

Info X Reporters

KIULU: Syarat kelayakan Program BUDI Diesel perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kajian itu perlu berikutan ramai pengusaha pertanian tidak layak memohon subsidi diesel kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.

Katanya, perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan golongan berkenaan apabila kerajaan melaksanakan pemberian subsidi bersasar untuk kenderaan berkuasa diesel.

Jelasnya, masalah timbuk kerana sebahagian pengusaha, khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan yang ditawarkan syarikat dan bukannya institusi perbankan.

“Kita sedia maklum bahawa hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut BUDI Diesel.

“Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, di sini, pada Selasa.

Jamawi berkata, terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum dapat dipindah milik kepada pengguna sebenar.

“Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terlibat dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.

“Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan serta menyalurkan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.

“Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog dan menyampaikan isu ini kepada kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian dapat terus dibantu dan diperkasakan,” katanya.

Mengulas mengenai Program Kebun Dapur, Jamawi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 3,000 pengusaha kecil mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta.

“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial.

“Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, anugerah itu berkemungkinan diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung di Tenom pada September ini.

Pada masa sama, Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat. – Info X