SHAH ALAM: Carlsberg Malaysia memperkenalkan siri filem dokumentari bertajuk People Behind The Rhythm bagi mengetengahkan kisah individu tempatan yang menjadi tulang belakang kepada penghasilan kempen Rhythm of Harvest, sekali gus meraikan warisan budaya Sabah dan Sarawak sempena musim pesta menuai.
Siri tiga filem itu dihasilkan berteraskan konsep ‘By Locals, For Locals’ dengan memaparkan pengalaman sebenar komuniti, penggiat seni dan pengamal budaya yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan semangat Pesta Kaamatan dan Hari Gawai melalui muzik, tarian, pakaian tradisional serta penceritaan budaya.
Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Stefano Clini, berkata Rhythm of Harvest bukan sekadar sebuah video muzik, sebaliknya menjadi lambang penghargaan terhadap identiti, rasa syukur dan semangat kekitaan masyarakat Sabah dan Sarawak yang kaya dengan tradisi serta budaya.
Katanya, setiap elemen yang dipersembahkan termasuk irama muzik, koreografi, busana tradisional dan visual ikonik seperti burung kenyalang, Gunung Kinabalu serta bunga Rafflesia dipilih dengan teliti bagi mencerminkan keunikan sambutan pesta menuai di kedua-dua negeri.
“Sejak awal lagi, Rhythm of Harvest diwujudkan bagi meraikan Sabah dan Sarawak dengan cara yang benar-benar mencerminkan masyarakat serta komuniti di sana. Melalui People Behind The Rhythm, kami mahu memberi ruang kepada suara mereka kerana inilah kisah mereka yang disampaikan mengikut cara mereka sendiri. Itulah makna sebenar Raikan Bersama Sabah & Sarawak,” katanya.

Kempen itu turut meneruskan kerjasama Carlsberg bersama artis tempatan, termasuk pelukis dari Sabah, Nelson Lip dan artis Sarawak, T. Bagak, yang sebelum ini menghasilkan rekaan pembungkusan khas Carlsberg berinspirasikan padi sebagai simbol kehidupan dan hasil tuaian.
Siri dokumentari berkenaan diarahkan pembikin filem kelahiran Sarawak, Sarah Lois, yang terkenal dengan karya berteraskan warisan masyarakat Kelabit serta pendekatan penceritaan yang menitikberatkan keaslian budaya melalui kerjasama rapat bersama komuniti tempatan.
Setiap episod menampilkan tema berbeza, antaranya perjalanan individu menghayati semula akar budaya, bagaimana muzik menjadi medium memelihara memori dan identiti, serta evolusi tarian tradisional yang terus diwariskan kepada generasi baharu.
Penulis lirik Rhythm of Harvest, Melina William, berkata muzik mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat walaupun berada jauh dari kampung halaman.

“Apabila saya kembali mengenali akar budaya melalui muzik, saya sedar bahawa bunyi dan irama dari tanah air sentiasa bersama kita walau di mana berada. Bagi mereka yang merantau, muzik mampu membawa kita pulang secara emosi dan mengingatkan bahawa sebahagian daripada rumah sentiasa berada dalam diri kita,” katanya.
Sementara itu, koreografer Arthur Darren berkata setiap gerakan tarian membawa kisah tersendiri dan menjadi jambatan antara warisan tradisional dengan ekspresi moden.
Katanya, Rhythm of Harvest memberi penghormatan kepada asas tarian tradisional sambil mempersembahkannya dalam pendekatan yang lebih dekat dengan generasi muda agar budaya terus dipelihara dan berkembang mengikut peredaran zaman.
Carlsberg berkata kempen Raikan Bersama Sabah & Sarawak akan terus menghimpunkan masyarakat bagi meraikan warisan, identiti bersama dan tradisi yang kekal subur di Sabah dan Sarawak, selain menggalakkan amalan menikmati minuman beralkohol secara bertanggungjawab.- Info X