KENINGAU: Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bingkor mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.
Keputusan itu dibuat pada satu majlis khas diketuai Naib Ketua Bahagian STAR Bingkor, Danil Palangi dan dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa STAR Bahagian Bingkor yang lain.
Menerusi satu kenyataan, Danil berkata keputusan berkenaan dibuat secara sukarela setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berkaitan hala tuju perjuangan politik dan kepentingan rakyat di Bingkor.
“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan atau desakan daripada mana-mana pihak. Ia adalah keputusan bersama yang lahir daripada pertimbangan matang demi memastikan perjuangan kami terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai antara individu yang terbabit dalam membina dan mengembangkan STAR di Bahagian Bingkor sejak awal, mereka berpendapat parti itu tidak lagi mampu memenuhi aspirasi serta harapan diinginkan sebahagian besar kepimpinan dan akar umbi di kawasan berkenaan.
“Kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan masa depan masyarakat di Bingkor,” katanya.
Danil turut menegaskan bahawa walaupun mereka tidak lagi bersama STAR, komitmen untuk terus mendampingi rakyat tidak akan berubah.
“Kami akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat dalam kapasiti yang bersesuaian. Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti hanya kerana perubahan platform politik,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan kestabilan politik serta pembangunan negeri.
“Kami melihat kepimpinan Datuk Seri Hajiji membawa pendekatan yang inklusif, sederhana dan berfokus kepada pembangunan rakyat. Justeru, kami akan terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar rakyat terus mengekalkan semangat perpaduan dan bersama-sama menyokong agenda pembangunan demi kemajuan Bingkor serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah. – Info X