Search

Kanak-kanak perempuan dipercayai dibunuh, dua lelaki ditahan

July 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, semalam.

Lebih menyedihkan, mayat Nurjilya Abdullah, 10, ditemukan dalam keadaan sudah mereput sehingga bahagian kepala dan mukanya tidak lagi dapat dicam.

Susulan penemuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, sepasukan polis bersama Unit Forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 10.38 malam.

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput. Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti berkaitan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, Nurjilya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar pada 13 Julai lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mengesannya.

Penemuan mayat mangsa akhirnya merungkai kehilangan kanak-kanak itu dan siasatan lanjut kini diteruskan bagi mengenal pasti motif pembunuhan. – Info X