PENAMPANG: Polis Penampang menafikan sekeras-kerasnya kesahihan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang tular di pelbagai platform media sosial sejak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kandungan berkenaan menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai.
“Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau apa-apa implikasi yang timbul akibat penyebaran infografik palsu itu.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati terbabit dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik.
“Jika penyebaran itu membabitkan gambar, identiti atau maklumat seorang kanak-kanak yang dilindungi undang-undang, tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya.
Sammy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
“Sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi PDRM.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu ini diminta menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X